KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, berbesar hati keputusan Kerajaan Persekutuan menerusi mesyuarat Majlis Kewangan Negara, yang bersetuju memberi royalti petroleum kepada Kelantan.
Baginda turut berharap agar projek yang sudah diluluskan itu perlu diteruskan dalam usaha mengeratkan lagi hubungan baik di antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Antara projek berkenaan adalah menaik taraf lapangan terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Projek Central Spine Road (CSR), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 ( LPT 3) dan cadangan Pembinaan Jambatan Kampung Cina – Palekbang.
“Dengan terbentuknya kerajaan baharu di bawah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, beta berharap agar banyak perubahan dan penambaikan dilakukan demi kepentingan rakyat, sejajar hasrat Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020,” titah baginda.
Baginda bertitah ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, hari ini.
Pada masa sama, baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menitahkan agensi berkenaan melaksanakan 89 projek infrastruktur asas dan juga pembangunan modal insan melalui agensi pelaksana 2016-2017.
“Projek berkenaan termasuk membina dan membaik pulih bangunan sekolah Yayasan Islam Kelantan membabitkan 26 projek, menaik taraf jalan dan jambatan sebanyak empat projek serta 39 projek penyelenggaraan longkang di sekitar bandar Kota Bharu.
“Beta percaya kerajaan negeri amat komited dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat luar bandar, khususnya masyarakat Orang Asli.
“Beta menyokong penuh usaha mempelbagaikan sumber pendapatan penduduk luar bandar melalui penerokaan subsektor baharu yang bernilai tinggi,” titah baginda.
Pemangku Raja turut bertitah, berdasarkan laporan prestasi ekonomi Malaysia suku pertama 2018 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan prestasi ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan iaitu 5.4 peratus berbanding 5.9 pada suku tahun keempat 2017.
“Dalam tempoh ini, KDNK mencatatkan nilai RM295.3 bilion pada harga malar dan RM343.2 bilion pada harga semasa.
“Berdasarkan momentum pertumbuhan sebanyak 4.8 peratus pada 2016 yang dicatatkan, ekonomi Kelantan juga dijangka mengalami pertumbuhan positif pada 2018.
“Ini seiring dengan pertumbuhan ekonomi di sektor perkhidmatan dan pertanian dengan mengambil kira faktor peningkatan pelaburan negeri,” titah baginda.
Baginda turut mengucapkan tahniah kepada PAS kerana berjaya mengekalkan kemenangan di Kelantan dan juga kepada ahli Yang Berhormat sekalian berjaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 ( PRU-14) lalu.