KOTA BHARU 13 Okt. – Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra berharap Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mampu menjadi peneraju ke arah kecemerlangan hub pendidikan di Kelantan.
Baginda, yang juga Canselor UMK bertitah, ia sekaligus dapat mengembalikan Kelantan sebagai pusat pendidikan terulung di dalam negara.
“Beta percaya, kepakaran yang ada pada UMK mampu menjadi rujukan semua pihak berkepentingan dalam usaha memajukan pembangunan keusahawanan, teknologi pertanian dan penternakan, industri pelancongan dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap pembasmian kemiskinan.
“Kehadiran UMK dalam tiga kampus utama mampu menjayakan agenda pembangunan negeri jika ia disenergi dengan semua pihak dan dapat direalisasi dengan sebaiknya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Konvokesyen Kali kelapan UMK yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Husaini Omar di Dewan Keusahawanan UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini.
Pada istiadat berkenaan, Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz turut dimasyhurkan sebagai Pro Canselor UMK.
Seramai 2,271 graduan yang menamatkan pelbagai pengajian akan menerima ijazah dalam bidang Kedoktoran (PhD), Sarjana dan Sarjana Muda sepanjang istiadat yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini dan berakhir Rabu ini.
Tengku Muhamad Faiz turut menzahirkan rasa sukacita baginda di atas pencapaian UMK di dalam dan luar negara sejak universiti berkenaan ditubuhkan 11 tahun lepas.
“Pada tahun ini, UMK memperoleh status autonomi daripada Kementerian Pendidikan bagi membolehkan universiti bergerak dengan lebih berkesan dalam mencapai agenda kecemerlangannya.
“Pengiktirafan ini menunjukkan UMK telah bersedia menggalas tugas dan tanggungjawab yang lebih besar dalam memastikan tadbir urus institusi, kewangan, sumber manusia dan akademik berada pada landasan yang tepat,” titah baginda.
Di peringkat antarabangsa, baginda turut melahirkan rasa sukacita dengan wujudnya Pusat Sumber Digital MOOC di UMK hasil kerjasama ERASMUS+ melalui projek “Media Literacy Competence for Social Change by European Union”.
Baginda bertitah ia diikuti dengan kerjasama persefahaman akademik dengan universiti luar negara seperti Universiti Seoul, Korea Selatan dalam aspek pemulihan dan pemeliharaan alam sekitar serta penubuhan American Corner oleh Kedutaan Amerika Syarikat di UMK.
“Apa yang menarik perhatian beta juga adalah pencapaian UMK dalam Program Keusahawanan Sosial yang dianjurkan pada April 2018 yang mana wujudknya kerjasama strategik antara industri di dalam negara dan luar negara.
“Beta percaya, program ‘Social Business’ ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan yang dapat mencipta peluang-peluang pekerjaan di mana syarikat yang diuruskan secara ‘Social Business’ ini dapat berkembang dengan baik,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut menyeru agar kasih sayang serta pengorbanan yang dicurahkan anggota keluarga dalam membantu graduan sehingga berjaya perlu dibalas dengan penghargaan yang setimpal.
Baginda bertitah justeru itu, graduan perlu lebih bertanggungjawab, memiliki jati diri yang kental dan menjadi anak yang bertanggungjawab kepada keluarga dan masyarakat.
“Tanpa kasih sayang ibu bapa, graduan mungkin tidak dapat mengikuti pengajian mereka sehingga ke menara gading, seterusnya memiliki kerjaya yang bersesuaian dengan kelayakan yang dimiliki.
“Beta ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya dalam majlis istiadat konvokesyen pada tahun ini, serta ibu bapa dan kaum keluarga yang telah banyak berkorban dan menyokong segala usaha yang dilakukan oleh pihak universiti demi meraikan kejayaan semua graduan pada hari ini,” titah baginda.- BERNAMA