KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) melancarkan tabung khas bagi membantu mereka menyelesaikan masalah kewangan serta menstabilkan kantung pasukan sebelum menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, mereka tidak mahu berselindung dengan mendedahkan situasi dihadapi persatuan itu yang berdepan krisis kewangan.
Susulan itu, katanya satu tabung khas dilancarkan sebagai inisiatif terbaru bagi memohon bantuan daripada umum khususnya peminat pasukan The Red Warriors.
“Berikutan permasalahan dihadapi KAFA, kami tidak segan untuk menyatakan kini sedang menghadapi masalah kewangan bagi mengharungi saingan musim depan serta menyelesaikan apa-apa perkara untuk tahun ini.
“Jadi kongres (semalam) sudah menzahirkan rasa simpati dengan apa yang dialami dan membuat ketetapan supaya KAFA melancarkan satu tabung bagi tujuan pemulihan kewangan.
“Pihak yang berhasrat membantu boleh menyumbang melalui tabung itu dan saya rasa inisiatif ini cukup baik kerana kami sediakan satu platform secara terus ke akaun KAFA,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Bank Islam 03111010167936 atas nama Persatuan Bolasepak Kelantan.