KOTA BHARU 20 Julai – Jutawan kosmetik Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Vida menasihatkan supaya Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan berundur selepas usahawan batik itu dilihat terkial-kial memimpin badan induk tersebut.
Vida berkata, Bibi Ramjani sepatutnya berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk terjun dalam bidang berkenaan yang memerlukan ketahanan mental tinggi.
“Menguruskan bola sepak bukan satu tugas yang mudah kerana ia memerlukan komitmen dan ilmu berkaitan dengan sukan berkenaan.
“Saya sudah rasa kesannya ketika menjadi penaja utama Kelantan sebelum ini apabila prestasi The Red Warriors (TRW) merudum ketika itu sehingga memberikan kesan kepada jualan produk Vida Beauty,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Bibi Ramjani yang berhasrat meneliti kembali kontrak penajaan Vida Beauty terhadap Kelantan yang masih berbaki RM8 juta bagi musim 2017.
Tahun 2016 menyaksikan kejutan terbesar buat landskap bola sepak Kelantan apabila Vida menaja Kelantan dengan nilai RM8 juta untuk satu musim.
Bagaimanapun, anak kelahiran Tanah Merah itu mengambil keputusan untuk tidak menyambung penajaan pada tahun berikutnya ekoran prestasi hambar pasukan.
Difahamkan, Kafa ketika ini sedang berdepan masalah kewangan yang kronik untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji dan belanja pengurusan pasukan.
Vida dalam pada itu menegaskan perjanjian tajaan antara pihaknya dengan TRW yang ditangguhkan sebelum ini tidak perlu dibangkitkan lagi.
Katanya, hal ini kerana isu tersebut sudah diselesaikan sepenuhnya dengan pimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) terdahulu iaitu Tan Sri Annuar Musa.
Ujarnya, perjanjian tersebut dibuat menerusi syarikat The Red Warriors Shd. Bhd (TRW Sdn. Bhd) dan bukannya dengan Kafa.
“Kafa dan TRW Sdn. Bhd adalah entiti yang berbeza. Sejujurnya saya hairan kenapa isu ini kembali dibangkitkan semula.
“Sedangkan semuanya telah dibuat secara jelas menerusi meja rundingan antara Vida Beauty dengan pimpinan Kafa terdahulu,” katanya.
– UTUSAN ONLINE