KOTA BHARU: Pemain Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi membuat keputusan mendahului Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) apabila memutuskan meninggalkan pasukan itu, walaupun baru sebulan kembali menyertainya.
Mohd Badhri atau Piya berkata beliau lebih awal ‘angkat kaki’ susulan persatuan itu mahu mengkaji semula kedudukannya bersama pasukan Kelantan.
“Sebelum apa-apa keputusan terjadi, lebih baik saya mengambil keputusan mengundurkan diri. Lagipun kepulangan semula ke pangkuan TRW dibuat selepas mendapat tawaran dari Ahmad Fazli Mohammad (MyInspiration Sdn. Bhd),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sebelum ini Presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan dipetik sebagai berkata persatuan itu akan meneliti semula mana-mana kontrak pemain yang gaji mereka dibayar oleh KRW Sdn Bhd, dengan jaminan kerjasama My Inspiration Sdn. Bhd baru-baru ini.
Antara individu yang dibawa masuk menerusi jalinan kerjasama itu ialah Marko Kraljevic (jurulatih), Raul Tarragona, Piya dan beberapa lagi.
Piya berkata kedua-dua individu berkenaan yang bertanggungjawab membawa dia pulang selepas penyertaan Perlis dalam saingan Liga Perdana dibatalkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
“Surat penghijrahkan keluar dari TRW itu sudah diserahkan kepada KAFA pada pukul 3.15 petang tadi (hari ini),” katanya.
– BERNAMA