Kerajaan negeri sudah memberi pengurangan hutang levi Stadium Sultan Muhammad IV dan cukai hiburan kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bernilai hampir RM500,000 pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Roslan Wan Hamat, berkata bantuan itu diberikan bagi meringankan beban KAFA yang dibelenggu masalah kewangan.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga yakin dengan perancangan dan strategi Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan bagi menyelesaikan kemelut badan induk itu selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, bulan lalu.
“Biasalah jika nak maju mesti berdepan masalah, tapi Presiden (Bibi) ada semangat cekal dan strategi untuk bertindak.
“Ada sesetengah pendapat kita perlu bermula dari bawah untuk membina semula skuad TRW (The Red Warriors) kerana pasukan ini mempunyai aset hebat dan pasti akan maju,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Sebelum ini KAFA dilaporkan masih terhimpit dengan beban hutang lama yang boleh menyebabkan pasukan negeri itu turun ke Liga FAM jika masalah berkenaan tidak diselesaikan musim ini.
Persatuan itu mempunyai tiga kes pembayaran hutang yang dituntut Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan nilai jutaan ringgit.
Mengulas lanjut, Wan Roslan berkata, beliau akan berjumpa Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam masa terdekat.
“Kita akan cuba mengusulkan masalah KAFA kepada kementerian supaya mereka beri perhatian kursus termasuk membabitkan sukan lain di negeri ini,” katanya.