KOTA BHARU 26 Julai – Kesilapan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) memberi mandat kepada Bibi Ramjani Ilias Khan untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menjadi punca utama kepada penyingkiran The Red Warriors (TRW) ke Liga Perdana 2019.
Setiausaha Agung The Red Warriors City Club (TRWCC) Umar Kamaruddin berkata, Bibi Ramjani Ilias Khan dilihat gagal mengurus tadbir Kafa dengan baik sehingga badan itu menjadi lemah.
Menurutnya, lebih mengecewakan angin perubahan yang dimahukan PBJ itu hanya omong kosong apabila usahawan batik itu tidak mempunyai halatuju jelas untuk membawa pasukan dalam mengharungi saingan Liga Super 2018.
“Anda boleh lihat bagaimana tindakan drastik yang tidak masuk akal dilakukan oleh Kafa sehingga menjual pemain berkuatili.
“Hasilnya kita ke Liga Perdana musim depan dan itulah hakikat yang perlu terima dengan hati yang terbuka,” katanya, di sini hari ini.
Selepas 21 perlawanan Liga Super musim ini, Kelantan menghuni tangga tercorot Liga Super dengan mengumpul 15 mata hasil empat kemenangan, tiga seri dan 14 kekalahan.
Kemuncak kejatuhan prestasi TRW berlaku apabila Bibi Ramjani membawa masuk bekas pengendali Syria, Fajer Ibrahim untuk mengemudi pasukan dengan memberikan kuasa penuh.
Fajer telah menggunakan kuasa penuh itu dengan melakukan ‘pembersihan’ apabila menyingkirkan pemain senior yang masih boleh memberikan sumbangan kepada pasukan bagi memberikan laluan buat ‘ubi muda’.
Antara tonggak senior yang disingkirkan Fajer ialah Mohd Nor Farhan Mohamad, Mohd Badhri Radzi, Amiridzwan Taj Tajuddin, Khairul Fahmi Che Mat dan ramai lagi.
Tindakan Fajer itu mengundang malapetaka buat TRW apabila pemain muda gagal menyerang bahang tekanan aksi di Liga Super.