KOTA BHARU: Institusi raja perlu dipertahankan kerana ia memainkan peranan dan sumbangan cukup penting dalam menyatukan rakyat di negara ini.
Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali, berkata terdapat banyak bukti dan fakta sejarah bagi menyokong perkara itu sehingga negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
“Beberapa contoh jelas pada satu ketika dahulu, Raja Melayu turut bersama rakyat berjuang mempertahankan negara dari penjajah. Antaranya, Sultan Ahmad turun ke medan perang memimpin tentera menentang Portugis di Melaka pada tahun 1511.
“Dari sini jelas, bahawa tanpa institusi raja, rakyat di negara ini sukar untuk disatukan,” katanya ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk Peranan dan Sumbangan Raja Melayu Terhadap Tanah Air Sebelum Tahun 1957 dalam Seminar Peranan Raja Raja Melayu Dalam Menyatukan Rakyat di sini, hari ini.
Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, berkenan merasmikan program terbabit dan melancarkan buku Sejarah Kesultanan Melayu Kelantan.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, segelintir generasi kini tidak mempunyai pengetahuan jelas sehingga berani mempersoalkan mengenai sumbangan dan peranan institusi Raja Melayu.
“Mereka yang masih muda bertanya apakah releven institusi raja kerana mereka hanya lihat pada mata kasar apa yang Raja buat, mereka tidak nampak peranan dan sumbangan sebenar institusi raja.
“Oleh itu menerusi program seperti ini, sumbangan dan peranan Raja dapat didedahkan kepada masyarakat yang memainkan peranan besar bukan sahaja menyatupadukan rakyat tapi turut membangunkan negara,” katanya.
Bagi Penyelidik Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu (PKKM) Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Dr Hashim Musa, Raja-Raja Melayu adalah pusat kedaulatan kuasa yang memulakan pembukaan dan pembinaan negeri Melayu.
“Raja akan menjadi payung kepada perpaduan dan menjadi sumber ketaatan kepada seluruh rakyat seperti yang termaktub dalam perlembangan dan Rukun Negara.
“Kerajaan boleh bersilih ganti tetapi Raja Berpelembagaan adalah sepanjang zaman,” katanya.