KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sebentar tadi mengumumkan hari Ahad dan Isnin ini merupakan cuti peristiwa bagi negeri ini sempena kemangkatan Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Al-Sultan Yahya Petra pagi tadi.
Beliau berkata, pemberian cuti tersebut adalah bagi menghormati perkabungan Ayahanda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang bermul hari ini.
“Ketahuilah bahawa dengan titah perintah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V adalah ditentukan perkabungan iaitu mulai hari ini dan jenazah baginda akan dikebumikan selepas solat Asar.
“Untuk menghormati perkabungan Ayahanda Sultan Kelantan, cuti peristiwa diberikan kepada rakyat negeri ini pada hari Ahad dan Isnin,” katanya pada sidang akhbar pengumuman kemangkatan di sini hari ini.
Ahmad berkata, untuk istiadat pengkebumian pihaknya akan membuat satu perbincangan rasmi untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, Almarhum Sultan Ismail Petra mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pada pukul 8.11 pagi tadi.
Jenazah Almarhum akan dibawa ke Istana Balai Besar untuk Istiadat Penghormatan kali terakhir sebelum dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Kota Bharu selepas solat Asar nanti.