KUALA KRAI: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan merasmikan Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai yang bernilai RM286 juta di sini hari ini.
Turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra serta isteri baginda, Cik Puan Sofie Louise Johansson.
Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dr Dzulkefly ketika berucap berkata, Hospital Sultan Ismail Petra dibina di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10).
Hospital itu yang berkonsep ‘Hospital Dalam Taman’ di tapak seluas 100 hektar di Kampung Pahi, dimulakan pembinaannya pada Mei 2014 dan siap sepenuhnya pada Mei 2018 sebelum memulakan operasi pada September 2018.
Ia memberikan manfaat kepada rakyat Kelantan dengan menjadi hospital pakar kedua terbesar di negeri ini selepas Hospital Raja Perempuan Zainab ll (HRPZ), Kota Bharu.
Hospital itu mempunyai 268 katil serta dilengkapi kemudahan seperti dewan bedah, dewan bersalin, kemudahan rawatan dan diagnostik, selain berfungsi sebagai pusat rujukan tertiari.
Sementara itu, penduduk Kampung Pahi, Saiful Muhammad, 43, berkata pembinaan hospital itu bukan sahaja meningkatkan tahap kesihatan, malah turut menyumbang kepada peningkatan ekonomi dan hartanah di kawasan itu.
“Sekarang banyak perumahan mula dibina di sini, sekali gus memberikan bonus kepada penduduk setempat untuk meningkatkan ekonomi selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sebagai kakitangan sokongan, keselamatan dan lain-lain,” katanya.
Nik Zaidi Nik Ahmad, 45, pula berkata pembinaan hospital itu memberikan manfaat bukan kepada masyarakat di Kuala Krai, malah masyarakat Gua Musang, Machang dan Tanah Merah.
“Jika sebelum ini masyarakat di negeri ini lebih tertumpu kepada Hospital Raja Perempuan Zainab ll yang boleh dikatakan sesak, kini hospital ini memberikan pilihan kepada masyarakat,” katanya. – BERNAMA