KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah supaya lima projek utama diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaksanakan dengan segera di negeri ini.
Baginda yang bertitah pada majlis Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kelantan sempena Perayaan Ulang Tahun Keputeraan ke-50 di Istana Balai Besar di sini berkata, pelaksanaan projek tersebut amat penting agar pembangunan ekonomi Kelantan dapat dilaksanakan secara berterusan.
“Pengumuman oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang meluluskan lima projek utama Kelantan iaitu pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Tiga, projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, pembinaan jalan raya yang menghubungkan Pasir Puteh, Machang dan Jeli, Lebuhraya ‘Central Spine Road’ dan pembinaan jambatan Palekbang-Kampung Cina dapat dilaksanakan dengan segera agar pembangunan ekonomi di Kelantan dapat dilaksanakan secara berterusan.
“Harapan beta agar kerajaan negeri juga dapat membantu dan bekerjasama dengan kerajaan Pusat untuk menyegerakan pelaksanaan projek-projek ini,” titah baginda.
Seramai 623 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat dan Jaksa Pendamai sempena ulang tahun keputeraan baginda kali ini.
Untuk sesi pertama, seramai 216 individu menerima Darjah Kebesaran dan Jaksa Pendamai hari ini, manakala penerima Bintang dan Pingat akan disempurnakan pada Mac tahun depan.
Dalam perkembangan sama, baginda turut maklum mengenai tindakan kerajaan yang memberi penekanan khusus terhadap perancangan pembangunan bandar-bandar baharu di Kelantan.
“Pembukaan bandar baharu ini bakal membuka lebih banyak aktiviti ekonomi yang secara langsung akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Sehubungan itu, beta mengalu-alukan penglibatan pelabur untuk bersama merebut peluang dalam membangunkan bandar-bandar baharu ini.
“Proses urbanisasi yang sempurna dan dinamik haruslah menitikberatkan pertumbuhan bandar-bandar yang terancang dan mampan tanpa mengabaikan penjagaan kelestarian alam semula jadi,” titah baginda.
Dalam titah sama, baginda juga berpendapat tema Tahun Melawat Kelantan iaitu ‘I Love Kelantan’ atau ‘Kelantan Di Hati’ dengan elemen ‘Family, Food dan Festival’ (3F) bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk menarik perhatian pelancong berkunjung ke negeri ini.
Selain itu, baginda turut menyentuh aspek kebersihan negeri ini yang memperlihatkan perubahan seiring dengan Kelantan sebagai negeri yang menerapkan nilai Islam sebagai teras pentadbiran.
“Alhamdulillah, nampaknya program ‘Kelantan Bersih’ yang telah dilaksanakan dilihat berjaya membawa perubahan dari sudut pembudayaan kebersihan dalam kalangan rakyat beta.
“Di samping itu juga, beta diberi maklum program kebersihan dan keceriaan ini akan terus diperkasakan dengan penambahan peruntukan kepada RM10 juta pada 2020 berbanding RM6 juta tahun ini.
“Beta berharap agar program pembudayaan kebersihan dan keceriaan dalam kalangan rakyat perlu dilaksanakan secara berterusan untuk menjadikan negeri ini antara yang terbersih di Malaysia,” titah baginda. – Sinar Harian