KOTA BHARU: Hujan berterusan sejak Isnin lalu menyebabkan paras air sungai Golok di Rantau Panjang, kini meningkat dan berada pada tahap berjaga-jaga.
Berdasarkan portal publicinfobanjir.water.gov.my sehingga jam 9 pagi tadi, paras air Sungai Golok meningkat kepada bacaan 7.08 meter melebihi paras berjaga-jaga iaitu 7 meter berbanding 6.55 meter semalam.
Bagaimanapun, empat lagi sungai di 13 lokasi masih berada di paras normal dan dijangka akan meningkat jika hujan lebat masih berterusan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) semalam mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat kuning di Terengganu dan Kelantan selama dua hari sehingga esok.
Menerusi kenyataan itu, selain Terengganu dan Kelantan, amaran cuaca waspada kuning itu turut membabitkan daerah Jerantut serta Kuantan, Pahang.
Katanya, angin timuran dari Lautan Pasifik Barat dijangka bertiup secara konsisten dan bertumpu di negeri Pantai Timur Semenanjung.
“Angin dengan kelajuan sehingga 40 kilometer sejam dan ombak mencapai 2.5 meter juga dijangka berlaku di perairan Terengganu dan Kelantan dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Sumber: BH Online