KOTA BHARU – Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan pasangannya, Cik Puan Sofie Louise Johansson mengejutkan orang ramai apabila muncul buat pertama kali di khalayak umum.
Kedua-dua mempelai diraja yang diijabkabulkan pada Jumaat lalu, hanya bersantai tanpa sebarang protokol untuk sarapan pagi di Kopitiam Kuan Heong Huan di sini, semalam.
Baginda bersama 22 ahli rombongan yang terdiri daripada kenalan rapat serta keluarga dari Sweden tiba di kedai kopi tersebut pada pukul 9.30 pagi.
Mereka bersantai selama lebih sejam sambil menikmati kopi, roti bakar dan telur separuh masak.
Pemilik kopitiam tersebut, Tan Kiat Eng berkata, dia amat terkejut apabila dimaklumkan oleh pengawal baginda pada malam kelmarin bahawa pasangan diraja itu akan bersarapan di kedainya.
“Kelmarin saya berkursus dan kawasan itu dan tiada liputan telefon. Lewat malam apabila balik ke rumah saya dapati ada 10 panggilan tidak dijawab dan mesej.
“Tuanku memang selalu datang ke kedai saya tetapi kali ini amat istimewa apabila baginda hadir bersama isteri serta keluarga mentuanya dari Sweden,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jumaat lalu baginda dan isteri dinikahkan oleh Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad dalam istiadat yang sederhana dan dihadiri oleh kerabat serta kenalan terdekat sahaja.