Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, melangsungkan perkahwinannya dengan warga Sweden, Cik Sofie Louise Johansson di Istana Balai Besar Kota Bharu, malam ini.
Baginda tiba menaiki kenderaan berasingan dengan pasangannya pada jam 8.20 malam tadi, diikuti bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pada jam 8.30 malam.
Istiadat perkahwinan diadakan secara tertutup dan sederhana dengan dihadiri ahli keluarga, kaum kerabat dan sahabat.
Majlis akad nikah diadakan selepas solat Isyak sebelum disusuli dengan istiadat persandingan.
Pasangan ini dinikahkan oleh Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad kira-kira jam 8.35 malam selepas khutbah nikah dibacakan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Tengku Mahkota Kelantan diputerakan pada 20 Januari 1974 di Istana Kota Lama, Kota Bharu.
Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail Petra II sebelum meneruskan pengajian di Oakham School, London di peringkat sekolah menengah.