KOTA BHARU 7 Mac.- Syarikat Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn. Bhd dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mencapai kata sepakat berhubung isu pertindihan tugas berkaitan pengurusan pasukan antara kedua-dua pihak yang wujud sebelum ini
Ketua Pegawai Eksekutif KRW Sdn. Bhd Ahmad Fazli Mohammad berkata, perkara itu dijangka akan melancarkan gerak kerja pihaknya dalam menguruskan pasukan bola sepak Kelantan yang terdiri daripada Liga Premier, Piala Presiden dan Belia bagi musim 2019.
Menurutnya, kata sepakat antara KRW Sdn. Bhd dan Kafa itu dicapai dalam satu pertemuan yang berlangsung di Bangsar, Kuala Lumpur semalam dan turut dihadiri oleh Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan.
“Insya-Allah selepas ini, kita akan dapat lihat The Red Warriors (TRW) kembali ke landasan sebenar sebagaimana perancangan yang telah dibuat.
“Kami di KRW telah menyediakan satu kerangka perancangan untuk mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Kelantan,” katanya.
Ahmad Fadli memberitahu, sehubungan itu beliau berharap ‘pemain ke-12’ iaitu peminat pasukan Kelantan dapat bersabar dan memberi ruang kepada KRW Sdn. Bhd untuk menterjemahkan gerak kerja mereka.
Katanya, sokongan padu amat diperlukan oleh KRW Sdn. Bhd bagi memastikan semua perancangan berjalan mengikut jadual.
“Urus bola sepak bukan semudah menyiapkan ‘mee segera’ yang kita boleh main campak sahaja.
“Kita perlukan satu perancangan jangka panjang bagi memastikan hasil yang akan dituai itu memberikan pulangan lumayan dalam erti kata kejayaan merangkul kejuaraan,” ujarnya.