KOTA BHARU: Tiada sebarang lesen hiburan dikeluarkan kerajaan negeri kepada mana-mana premis perniagaan di negeri ini.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin, berkata peraturan mengehadkan waktu sehingga jam 12 tengah malam bagi program berbentuk hiburan sudah dilakukan kerajaan negeri sejak 28 tahun lalu selepas PAS mengambil alih Kelantan.
“Di Kelantan tiada pusat hiburan dibuka, cuma bagi program hiburan seperti dikir barat, persembahan wayang kulit atau pesta sememangnya sudah ditetapkan sehingga jam 12 tengah malam saja.
“Sementara pada Khamis waktu malam, tiada sebarang program hiburan boleh diadakan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Kementerian Wilayah Persekutuan yang mempertimbangkan cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memendekkan waktu operasi semua pusat hiburan di ibu negara kepada jam 1 pagi.
Khamis lalu, Menterinya, Khalid Abdul Samad, berkata semua pusat hiburan dan kelab malam hanya dibenar beroperasi sehingga jam 1 pagi.
Bagaimanapun, katanya, ada sebilangan kecil diberikan kebenaran khas untuk melanjutkan waktu operasi hingga jam 3 pagi atau 5 pagi.
Mengulas lanjut, Izani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang berkata, bagi premis seperti snuker dan boling, kerajaan negeri menetapkan sebagai lesen sukan bagi perniagaan terbabit.
“Begitu juga Cyber Cafe, kami menetapkan sebagai lesen bagi perkhidmatan internet. Namun begitu, semua premis terbabit kita memang menetapkan peraturan waktu operasi sehingga jam 12 tengah malam,” katanya.