Lido, Odean, Rani dan Rex. Itu empat panggung wayang atau pawagam terkenal di Kota Bharu, Kelantan suatu ketika dahulu sebelum semuanya menghentikan operasi sebelum dan sekitar tahun 1990-an.
Ketika itu, rakyat Kelantan tidak memanggil panggung wayang atau pawagam, sebaliknya disebut sebagai panggung dan semestinya nama itu masih diingati penduduk khususnya mereka yang mempunyai kenangan ketika era menonton filem di layar besar.
Panggung Lido yang terletak di Jalan Post Office Lama adalah panggung wayang terakhir beroperasi di Kota Bharu sehingga sekitar 1996 sebelum dirobohkan pada 1997.
Rakan penulis antara yang mempunyai banyak kenangan di panggung berkenaan kerana sering berkunjung ke lokasi itu, terutama cuti hujung minggu. Sukirman Mustafa, 39, adalah antara anak muda Kelantan yang sering ke panggung wayang berkenaan, ketika itu mengenakan bayaran masuk hanya RM4.50.
Menceritakan kenangan ketika berusia belasan tahun, Sukirman, berkata panggung Lido paling terkenal di Kota Bharu dan sentiasa dikunjungi ramai orang, terutama anak muda setiap kali hujung dan malam minggu.
“Kali terakhir saya menonton di panggung itu ialah filem XX Ray (arahan Aziz M Osman) ketika berusia 20-an dan kini semua itu hanya mampu dikenang kerana tiada lagi panggung wayang di Kelantan sejak 1990,” katanya.
Tiada sambutan
Sukirman berkata, panggung berkenaan bukan ditutup atas arahan kerajaan negeri, sebaliknya tiada sambutan orang ramai memandangkan syarat ketat dikenakan kerajaan PAS ketika itu, termasuk memasang lampu dan pengasingan tempat duduk.
“Saya berharap panggung wayang dapat dibuka semula tanpa dikenakan syarat ketat memandangkan Terengganu di bawah pemerintahan PAS menyediakan panggung wayang,” luahnya.
Ketika ini, rakyat Kelantan yang ingin menonton filem di pawagam akan ke Terengganu dan jangan terkejut ada yang berkunjung ke negeri jiran itu semata-mata mahu menonton filem terbaharu. Isu pawagam di Kelantan bukan perkara baharu kerana pada 2016, ada desas-desus mengatakan pawagam bakal dibuka semula di Kelantan.
Namun kerajaan negeri menafikan perkara itu. Malah, baru-baru ini isu pawagam kembali hangat apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas dari Barisan Nasional (BN), Mohd Syahbuddin Hashim pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mencadangkan kerajaan negeri membenarkan pembukaan pawagam patuh syariah di Kelantan.
Bagaimanapun, sehari selepas cadangan itu, kerajaan negeri menerusi EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin memutuskan tidak akan membuka pawagam di seluruh Kelantan dalam usaha mengekang masalah sosial.
Katanya, selama 30 tahun Kelantan tidak mempunyai pawagam dan tidak ada masalah pun kerana banyak sumber sekiranya mahu menonton filem.
Bagi penulis, pawagam bukan faktor utama menyumbang kepada masalah sosial sehingga ia tidak dibenarkan beroperasi di Kelantan kerana masih ramai keluarga pergi ke panggung untuk mengisi masa lapang hujung minggu, bukan pasangan bercinta semata-mata.
Namun, hasrat kerajaan negeri juga perlu dipandang positif kerana niatnya murni iaitu bagi mengelak anak pulang lewat malam semata-mata ke pawagam.