KOTA BHARU: Telekom Malaysia Bhd (TM) Kelantan akan memanfaatkan peruntukan RM110 juta bagi penyediaan prasarana perkhidmatan Unifi di beberapa daerah di negeri ini.
Pengurus Besarnya, Azman Yusof berkata projek yang sudah bermula sejak 2015 itu, dijalankan di Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian, Salor, Machang, Kuala Krai, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat bertujuan untuk membolehkan akses internet ke kawasan berkenaan.
“Melalui Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) selaras dangan inisiatif kerajaan dalam Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), kita berharap agar Kelantan juga akan mendapat faedah daripada projek ini.
“Usaha ini juga diharap dilengkapi dengan prasarana digital pada 2025 kelak yang mana TM akan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi yang utama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pelancaran Perkhidmatan Unifi di Dewan Masyarakat Cina di Kampung Cina hari ini yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Izani Husin.
Azman berkata, pelbagai industri seperti perkayuan, minyak dan gas, pelancongan dan pembuatan memerlukan sistem yang canggih, yang mana akan menarik minat pelabur dari dalam dan luar negara yang mahukan penghantaran data yang pantas serta perhubungan dengan dunia luar secara dalam talian.
“Dengan adanya unifi ini, saya berharap akan dapat membawa manfaat yang besar kepada rakyat serta meningkatkan pertumbuhan industri tempatan, secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan.
“Penduduk Kampung Cina juga perlu didedahkan dengan program Celik IT dan menjadi warga digital agar kita setanding dengan penduduk di kawasan lain,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa walaupun internet membuka banyak peluang dan membolehkan rakyat menikmati gaya hidup digital namun ia perlu digunakan secara berhemah dan bertanggung jawab.
“TM membuktikan komitmen dalam membawa perkhidmatan internet berkelajuan tinggi di kawasan pinggir bandar di Kelantan,” katanya.
– BERNAMA