MACHANG: Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan melahirkan kira-kira 50 usahawan Bumiputera yang berjaya dalam pelbagai bidang sejak ditubuhkan sehingga sekarang.
Timbalan Rektor Penyelidikan Jaringan Industri dan Alumni UiTM, Dr Syerina Azlin Md Nasir, berkata bidang itu termasuk penternakan kambing, cendawan berasaskan fertigasi dan perusahaan membuat sambal daging.
“Jumlah itu tidak termasuk mereka yang tidak berdaftar dengan UiTM sebaliknya menjalankan perniagaan secara dalam talian atau menjadi ejen mana-mana syarikat pengeluar,” katanya kepada pemberita pada majlis Karnival Akademik dan Keusahawanan di UiTM Machang di sini, hari ini.
Beliau berkata, setiap pelajar yang mengikuti enam fakulti mereka diwajibkan mengambil subjek keusahawanan mengikut minat masing-masing untuk menggalakkan mereka mencebur diri dalam lapangan perniagaan sebaik tamat pengajian sama ada di peringkat diploma atau sarjana muda.
Katanya, ketika dalam tempoh pengajian mereka boleh mendapatkan beberapa skim insentif termasuk pinjaman tanpa faedah iaitu maksimum RM500 manakala minimum RM3,000 dan mereka diwajibkan membayar balik sebelum tamat pengajian.
Dr Syerina berkata, pada musim cuti semester mereka akan digalak untuk menyertai latihan praktikal di mana-mana syarikat pengeluar produk mengikut minat masing-masing yang berdekatan rumah kediaman.
“Latihan itu bertujuan untuk mereka mencari pengalaman dan pengetahuan yang berguna sebelum mencebur diri sepenuhnya sebaik tamat pengajian,” katanya.
Beliau berkata, selain itu mereka juga didedahkan dengan pelbagai maklumat berkaitan menerusi seminar dengan mengundang agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Tabung Haji, FAMA dan institusi kewangan bagi memudahkan mereka mendapat manfaat mengenainya.
Katanya, pensyarah pula diwajib mengikuti kursus di agensi berkenaan untuk membolehkan mereka menyampaikan maklumat lebih tepat kepada pelajar. – BERNAMA