BACHOK – Tengku Mahkota Kelantan Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra bertitah agar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menggandakan kolaborasi dengan pelbagai pemegang taruh dan rakan strategik merentasi negeri ini bagi memastikan universiti itu memberi impak yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Baginda yakin kolaborasi itu dapat digembleng menerusi komitmen khusus daripada anak Kelantan yang kini telah berjaya dan mencipta nama dalam bidang masing-masing di luar Kelantan.
“Rakyat Kelantan diaspora sifatnya dan mereka berjaya dengan gemilang di luar Kelantan. Potensi dan kekuatan mereka perlu kita gemblengkan melalui komitmen yang khusus,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen UMK Ke-9 di UMK Bachok, di sini hari ini.
Turut hadir Pro Canselor UMK Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Datuk Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
Seramai 2,062 graduan diraikan dalam istiadat itu yang bermula hari ini hingga 21 Okt membabitkan 1,980 graduan Ijazah Sarjana Muda, 62 Ijazah Sarjana dan 17 graduan Ijazah Doktor Falsafah.
Pada istiadat itu Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra turut berkenan menganugerahkan Anugerah Diraja kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Perbankan dan Kewangan Islam Siti Madihah Situah, 24 dan graduan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar Katty Lau Kai Qi, 25.
— BERNAMA