KOTA BHARU: Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh mengambil masa hampir satu jam bagi mendirikan replika wau gergasi seberat 100 kilogram sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Usaha mendirikan wau setinggi 18 meter dan lebar 17 meter di padang sekolah itu membabitkan tenaga 861 warga sekolah bermula jam 12.30 tengah hari tadi.
Lebih menarik, wau gergasi itu turut dijahit secara bergotong-royong membabitkan guru, murid, kakitangan sekolah, penduduk kampung dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu dengan memperuntukkan lebih empat jam sehari bagi menyiapkan replika itu.
Guru Besar SK Ketereh, Che Hassin Isa, berkata ketinggian wau itu diukur mengikut tahun sambutan Hari Kebangsaan manakala lebarnya 57 kaki sempena negara merdeka pada 1957.
Katanya, pihaknya mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan replika gergasi itu yang diperbuat daripada 35 rangka buluh muda, 150 bendera Malaysia bersaiz besar dengan berat mencecah 100 kilogram.
“Replika wau itu dipilih sempena sambutan Hari Kebangsaan sebagai simbolik permainan tradisional masyarakat Kelantan.
“Wau ini akan berada di padang sekolah selama sebulan sehingga 16 September depan sempena Hari Malaysia dan kedudukan padang sekolah yang terletak berhampiran Jalan Kota Bharu- Machang memudahkan pengguna jalan raya melihat keunikan replika ini,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan peringkat sekolah itu di sini, hari ini.