Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah menganggap misi pasukan itu terlaksana walaupun seri tanpa jaringan dengan Kedah pada saingan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Pengendali The Red Warriors (TRW) itu turut berterima kasih kepada benteng pertahanannya yang mengamalkan corak bertahan untuk menafikan usaha Kedah menjaringkan gol dalam tempoh 90 minit, terutama apabila mereka ‘diajar’ untuk mengejar bola dengan kemasukan Andik Vermansyah.
“Pertamanya saya bersyukur kerana sepanjang tahun ini, inilah kali pertama kami mampu menghalang pasukan lawan dari Liga Super menjaringkan gol walaupun dalam liga kami sering kali ditewaskan atau dibolosi.
“Apa pun pujian buat pasukan saya, walaupun menempuh perjalanan yang jauh dari timur ke utara dan berasa keletihan yang amat sangat, namun mereka berjuang mempertahankan misi kami untuk hadir ke sini mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata.
“Dengan prestasi terkini, saya harap kami lebih fokus untuk mengharungi perlawanan seterusnya berdepan MIFA.”
Yusri turut menganggap kemenangan MIFA ke atas juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-1 di Larkin malam tadi mengejutkan mereka selain penyokong.
“Ramai beranggapan kumpulan ini agak sukar namun hakikatnya apabila MIFA mengalahkan JDT, ia sesuatu yang mengejutkan buat semua penyokong dan saya sendiri tidak terbayang dengan keputusan itu.”