Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan berusaha mendaftar etak salai sebagai makanan warisan Kelantan yang bakal membantu meningkatkan produktiviti komersial makanan tradisional itu.
Naib Canselor UMK, Prof. Dr. Noor Azizi Ismail berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat yang melibatkan usahawan, peniaga, pembekal dan pencari etak bersama agensi kerajaan hari ini.
Menurutnya, hasil penyelidikan Transdisiplinary Research Grant Skim (TGRS) yang melibatkan sepasukan penyelidik UMK yakin proses mempamerkan etak salai akan memberi impak keuntungan kepada generasi pengusaha makanan warisan itu merentasi kemajuan zaman.
“Ia akan membantu meningkatkan produktiviti etak, memelihara, memulihara habitat selain mengangkat etak salai sebagai makanan warisan di peringkat negeri, negara dan dunia.
” Saya pasti dengan kerjasama daripada Jabatan Warisan Negara, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Kesihatan dan lain-lain, proses mendokumentasikan etak salai sebagai makanan warisan tradisi rakyat negeri ini berjaya direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Etak Salai Kelantan 2019 di UMK Kampus Bachok, di sini hari ini.
Noor Azizi berkata, menerusi karnival ini ianya turut memberi penjelasan yang bertuntaskan nilai akademik dan ilmiah berkaitan potensi dan prospek perniagaan makanan berkenaan.
Katanya, inisiatif ini turut menterjemahkan perspektif etak salai Kelantan sebagai salah satu produk pelancongan negara dan memberi impak kepada Tahun Melawat Kelantan 2020.
“Berdasarkan kajian makan tradisi ini bermula sejak 1960an dalam kalangan penduduk pinggir Sungai Kelantan dan kini menjadi perniagaan warisan dengan pelbagai perisa dan resipi.
“Kejayaan pasukan penyelidik UMK yang menerbitkan jurnal penyelidikan dan graduan ijazah tinggi berkisar etak salai adalah yang julung kali diadakan di peringkat negara dan dunia,” katanya.
Penyelidikan etak salai dalam skop globalisasi ini dilaksanakan sejak tahun 2016 dan berakhir pada November tahun ini yang membabitkan tenaga penyelidik dari Fakulti Teknologi Kreatif dan Seni Warisan, Fakulti Sains Bumi, Fakulti Industri Asas Tani dan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan UMK.