KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) masih terhimpit dengan bebanan hutang lama yang boleh menyebabkan pasukan Kelantan turun ke Liga FAM jika tidak diselesaikan pada musim ini.
Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, badan induk itu mempunyai tiga kes pembayaran hutang yang dituntut Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan nilai jutaan ringgit.
Susulan itu pihaknya kini memberi fokus untuk menyelesaikan pembayaran hutang kerana jika tidak diselesaikan mengikut tarikh ditetapkan pasukan itu bakal berdepan hukuman lebih berat.
“Jika kami kekal di Liga Super sekalipun, jika tidak bayar hutang lama yang diarahkan FAM, kami tetap akan dipotong mata atau dikenakan hukuman turun ke liga bawahan (Liga FAM).
“KAFA masih mempunyai tiga kes ‘hutang’ dituntut bekas pemain dan kejurulatihan melalui FIFA yang perlu diselesaikan paling lewat akhir Ogos depan.
“Memang dari segi mata kasar kami bakal diturunkan ke Liga Perdana musim depan namun jika beberapa perkara belum diselesaikan tidak mustahil pasukan bakal turun ke Liga FAM,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Kelantan perlu menyelesaikan hutang membabitkan dua bekas pemain import iaitu Jonathan Lucca dan Dramane Traore serta bekas jurulatih kecergasan, Sebastian Knapic.
Mengulas mengenainya, Bibi Ramjani berharap penyokong menerima hakikat mengenai kedudukan pasukan dan tidak menyalahkan badan induk itu yang ditadbir pengurusan baharu.