TUMPAT – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bersedia menimbang pembukaan semula perkhidmatan kereta api Ekspres Wau dari Kuala Lumpur ke Tumpat apabila rangkaian keretapi di Pantai Timur sedang giat dibaik pulih.
Beroperasi semula Ekspress Wau itu bergantung kepada projek membaik pulih dan menaik taraf rangkaian kereta api bagi jajaran Gemas – Tumpat yang dijangka selesai hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata syarikat itu sedang dalam usaha menaik taraf dan membaik pulih rangkaian tersebut.
“Banjir yang melanda Pantai Timur pada penghujung 2014 juga telah mengakibatkan operasi tren KTMB terhenti kerana landasan kereta api tidak boleh dilalui di beberapa tempat akibat kejadian tanah runtuh, landasan terhakis, jambatan hanyut dan kerosakan teruk yang menyebabkan sistem persemboyanan (signalling system) tidak berfungsi.
“Beberapa jajaran tren dan jentera penyelenggara landasan turut rosak dan tenggelam serta tidak dapat digunakan lagi sejak kejadian itu.
“Bangunan pejabat, stesen dan kediaman kakitangan KTMB juga turut mengalami kerosakan yang teruk serta terdapat sebahagian daripadanya musnah sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
Pada 15 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan tiadanya tren Ekspress Wau (Tumpat-Kuala Lumpur) umpama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menafikan hak rakyat Kelantan.
Sudah memasuki tahun ke-5, operasi tren ini dihentikan susulan laluan keretapi ke pantai timur dan koc rosak kesan banjir besar tahun 2014.
Namun timbul persoalan mengapa tren rakyat Kelantan ini tidak juga muncul-muncul sedangkan laluan ke pantai Timur sudah pulih sepenuhnya.
Jambatan keretapi Kemubu sudah dibaiki dan tren Ekspress Timuran (Tumpat-Johor) sudah pun beroperasi.
Mohd Rani berkata, lebih RM800 juta telah diperuntukkan bagi membaik pulih infrastruktur landasan dan tren di sektor Pantai Timur.
“Peruntukan itu bagi projek membaik pulih infrastruktur landasan sektor Gemas – Tumpat dan program pemulihan stesen dan infrastruktur kereta api yang terjejas di Pantai Timur,” katanya.