GABUNGAN dua kuih tradisional Kelantan iaitu akok dan baulu yang diberi nama koklu ternyata menarik perhatian pembeli.
Menu baharu itu diperkenalkan pasangan suami isteri, Zakaria Jali, 55, dan Junaidah Yusof, 50, dari Kampung Pantai Haji Nik Mat di sini, menjual koklu di pasar terapung Pulau Suri yang dibuka setiap Sabtu.
Masih menggunakan kaedah tradisional iaitu membakar menggunakan sabut kelapa, dua adunan itu dimasak dalam acuan tembaga yang menghasilkan rasa sangat enak.
Zakaria berkata, sebelum ini dia dan isteri membuat dan menjual baulu sahaja manakala akok hanya dijual ketika bulan puasa.
“Menu koklu ini baru saja kami perkenalkan kerana mendapat idea daripada seorang rakan yang berniaga akok yang mencadangkan supaya kami cuba menggabungkan dua kuih tradisional ini.
“Lapisan pertama dalam acuan kami letakkan adunan akok dan kemudian adunan baulu yang dibakar menggunakan sabut kelapa dalam masa beberapa minit menghasilkan rasa lemak dan enak gabungan dua adunan itu,” katanya.
Zakaria berkata, dia menjalankan perniagaan membuat baulu sejak tiga tahun lalu dan hanya mengambil tempahan penduduk di gerai.
Menurutnya, dengan kewujudan pasar terapung, dia mampu meluaskan perniagaannya dan memperkenalkan produk hasil kampung kepada orang luar serta pada masa sama menjana pendapatan mereka sekeluarga.
“Kuih koklu ini kami jual dengan harga RM2 untuk tiga biji dan sambutan diterima setakat ini sangat menggalakkan.
“Rata-rata pembeli membeli lebih daripada satu bekas menyebabkan kami tidak menang tangan menyediakan koklu, tambahan pula memakan masa untuk memasaknya kerana menggunakan cara tradisional (sabut kelapa),” katanya.
Zakaria berkata, untuk jualan di pasar terapung, dia menyediakan masing-masing satu besen besar adunan baulu dan akok untuk tempoh tujuh jam berniaga iaitu bermula jam 8 pagi hingga 3 petang.
Katanya, walaupun pasar terapung sehari setiap minggu, kesempatan itu dimanfaatkan menjual di samping mempromosikan hasil jualan mereka.
Sumber: Harian Metro