KOTA BHARU: Kelab Penyokong Persatuan Bola Sepak Kelantan menyifatkan keputusan Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Red Warriors Sdn Bhd (KRW), Fazli Mohammad melepaskan jawatannya itu semalam adalah wajar.
Pengerusinya, Syed Abdullah Syed Mahmood berkata ini kerana Fazli gagal menunaikan janji apabila tiga pasukan di bawah pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) masih terhimpit dengan pembayaran gaji sejak Februari lalu.
Beliau mendakwa, mengikut perjanjian yang dimeterai dengan KAFA pada 24 Januari lalu, KRW sepatutnya menyelesaikan semua hutang termasuk bayaran gaji kepada semua pemain pasukan The Red Warriors (TRW), The President Warriors (TPW) dan The Young Warriors (TYW).
Namun dakwanya, sebaliknya berlaku apabila KRW tidak melunaskan bayaran gaji dan sentiasa berdalih serta mencari alasan dengan menangguhkan pembayaran berkenaan.
“Walaupun hasil kutipan tiket pada setiap perlawanan mencecah lebih RM100,000, namun duit itu hilang entah kemana, sedangkan ia sepatutnya dapat menyelesaikan gaji pemain.
“Jika mengikut perjanjian itu, sebanyak RM5 juta suntikan dana perlu diberikan kepada KAFA sebagai melunaskan hutang lapuk, tapi sebaliknya berlaku apabila sehingga kini tiada pembayaran dibuat.
“Saya sebagai individu yang sentiasa dengan KAFA, timbul rasa hairan dan ragu terhadap Fazli yang pada awalnya menyatakan hasrat mahu membawa bola sepak Kelantan ke arah lebih profesional, namun tindakannya itu seolah-olah tidak ambil peduli,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
BH Online semalam melaporkan Fazli meletak jawatan sebagai CEO KRW dengan serta merta atas faktor kewangan selain tiada kesepakatan dengan KAFA. Beliau turut melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden KAFA.
KRW ditubuhkan secara usahasama antara My Inspiration Sdn Bhd dan KAFA pada 24 Januari lalu bagi memantapkan lagi pengurusan bola sepak Kelantan ke arah lebih profesional. My Inspiration memiliki 70 peratus saham manakala selebihnya oleh KAFA.