KOTA BHARU – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kelantan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) bertindak merampas lebih 500 poster dan gegantung iklan pinjaman wang tidak berlesen dalam Op Vulture hari ini.
Ketua JSJK Kelantan Supt Ahmad Azizul Mohamed berkata operasi itu dilakukan bagi membanteras kegiatan penipuan daripada syarikat pinjaman wang tidak berlesen yang menyasarkan orang ramai.
Beliau berkata walaupun kes melibatkan syarikat pinjaman wang tidak begitu serius di negeri ini namun langkah pencegahan adalah lebih penting untuk mengelak orang ramai menjadi mangsa.
“Sehingga kini hanya terdapat tujuh kes melibatkan syarikat pinjaman wang tidak berlesen ini berbanding enam kes dalam tempoh sama tahun lepas.
“Meskipun dilihat tidak serius tetapi kegiatan seperti ini perlu dibanteras lebih awal daripada terus menular,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan MPKB, Izuddin Ab Rashid di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Ahmad Azizul berkata dalam operasi hari ini, seramai 15 anggota polis serta 20 anggota penguat kuasa MPKB bertindak membuang 500 poster dan gegantung yang dipasang oleh syarikat pinjaman tidak berlesen di sekitar bandar Kota Bharu.
“Berdasarkan poster yang dirampas, syarikat pinjaman ini mengiklankan dengan mengatakan mereka berlesen walaupun sebenarnya tidak, justeru orang ramai diseru supaya membuat pinjaman dengan institusi yang berlesen termasuk bank yang sah supaya tidak tertipu,” katanya.
Beliau berkata sindiket pinjaman ini menggunakan modus operandi dengan mengarahkan individu yang ingin memohon pinjaman membuat beberapa pembayaran kononnya untuk duti setem, bayaran kepada peguam dan pembayaran pendahuluan.
“Sebaik semua bayaran itu dibuat, pinjaman tidak juga diperoleh dan syarikat yang diiklankan sebenarnya tidak wujud.
“Bagi kes sebegini, sebanyak 127 kes dicatatkan sejak Januari tahun ini hingga semalam. Sejak 1 Okt hingga semalam juga, sembilan kes dicatatkan dengan melibatkan kerugian sebanyak RM35,000,” katanya.
— BERNAMA