KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) ‘menghantar’ Kelantan ke Liga Perdana musim depan selepas menewaskan skuad itu 2-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dekat sini sebentar tadi.
Manakala skuad Penyu berpeluang mengintai kedudukan kedua liga selepas berjaya menduduki tangga keempat dengan baki satu perlawanan.
Di depan lebih 3,000 peminat setia, tuan rumah terlebih dahulu diuji oleh barisan pelawat dengan percubaan pertama melalui sepakan percuma Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi pada minit ketiga, namun berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Muhamad Syazwan Yusoff.
Skuad Penyu yang berhajat untuk mengutip tiga mata memperolehi peluang pertama untuk mendahului menerusi kapten, Kipre Tchetche pada minit ke-13 tapi sepakannya berjaya dinafikan penjaga gol, Mohd Shahrizan Ismail.
Pada minit ke-17, skuad bimbingan Yusri Che Lah hampir di depan tapi bola sepakan jauh Mohd Azwan Mohd Aripin singgah di palang selepas ditepis penjaga gol.
Seminit berselang Lee Tuck melepaskan peluang keemasan pasukannya biarpun berpeluang membolosi gawang pelawat begitu juga dua percubaan Do Dong Hyun minit ke-31 yang berjaya ditepis penjaga gol dan terkena tiang pada minit ke-39.
Usaha berterusan skuad Penyu akhirnya berhasil apabila rembatan Tchetche pada minit ke-44 terkena tiang sebelum menerjah jaring untuk mendahului 1-0.
Bersambung babak kedua, skuad negeri berjiran itu terus melancarkan gerakan yang berbahaya untuk memburu gol namun dihampakan pertahanan masing-masing.
Hasil satu serangan balas hantaran lintang pemain sayap J Partiban berjaya disudahkan dengan rembatan kencang pemain pertahanan, Mohamad Kamal Azizi Mohd Zabri pada minit ke-53 untuk mengukuhkan kedudukan 2-0.
Skuad Penyu yang kian bernafsu hampir menambah jaringan pada minit ke-65 menerusi sepakan percuma Tuck tapi sepakan pemain kelahiran England itu terkena tiang gol.
Pada minit ke-84 skuad Penyu mendapat sepakan penalti namun Tchetche yang mengambil sepakan itu gagal menambah jaringan pasukannya selepas menyepak tinggi melepasi palang gol.